Asuhan Tok Kenali Mahmud Nasri Osmani

Sepanjang pembelajarannya di pondok Pasir Mas Salor, Mahmud sentiasa mengambil peluang mengikuti kuliah Tuan Guru Syeikh Yusuf Kenali secara berulang alik. Beliau sangat suka mendekati Tok Kenali dengan apa cara sekalipun, mengambil faham dengannya apa-apa yang guru-guru tidak sampaikan dalam bentuk kuliah umum. Mahmud juga selalu datang ke rumah Tok Kenali untuk mengurut badannya. Bermula dari ini, beliau diberitahu oleh Tok Kenali mengenai rahsia ketuhanan yang dikenali dengan nama ilmu syatar yang dikurniakan oleh Allah Taala dan yang melayakkan manusia menjadi Khalifah sekiranya dikehendaki.[perlu rujukan] Ilmu ini berlainan dengan ilmu nubuwwah dan ilmu risalah, kerana ilmu nubuwwah itu Allah Taala kurniakan kepada mereka yang berada pada pangkat nabi-nabi sahaja. Begitu juga, ilmu risalah Allah Taala kurniakan kepada manusia yang berada pada pangkat Rasul Alaihimussolati Wassalam sahaja.

Menurut cerita Mahmud Nasri, selepas menguasai ilmu syatar, Tok Kenali menganugerahi Mahmud dengan ijazah amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam.[perlu rujukan] Seterusnya,menurut beliau, Tok Kenali menyuruh beliau mengambil:

  • langkahan jabat 14, jabat penimbul, jabat besi, dan langkahan hulubalang daripada Tuan Muhamad Taib bin Haji Abdul Rahman Jabat (Guru ilmu Kebatinan)
  • segala latihan ilmu zahir, rohani, dan segala kitab daripada Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang).

Setelah mengadap guru-gurunya yang tersebut, Mahmud bertemu semula dengan gurunya, Tok Kenali. Tok Kenali menyuruh beliau mengulangi latihan ilmu rahsia, dan petua hikmah hulubalang Khalifah daripada guru Mohd Taib bin Haji Abdul Rahman Jabat.[perlu rujukan] Latihan itu bertujuan menjaga keselamatan kesucian maruah agama diri, keturunan, harta benda, dan tanah air. Sheikh Mohd Taib guru agama yang termasyhur ketika itu, serta juga guru silat yang dinamai Seni Silat Khalifah. Silat itu tidak terikat kepada satu susunan langkahan, tarian, dan buah. Pada masa itu, tiada sesiapa yang dapat menandingi Mohd Taib. Banyak perkara mencarik adap berlaku ke atas diri Sheikh Mohd Taib, antaranya terbentuk sekumpulan awan hitam sentiasa memayungi beliau pada waktu cerah setiap kali beliau berjalan.[perlu rujukan] Dengan latihan itulah, Mahmud kemudian memperkenalkan pula silatnya dengan nama Gerak Seni Silat Abjad.